Keluaran dan sambutan KL_Gangster

Pecah panggung

Pada hari pertama tayangan, filem ini berjaya mengutip RM 1.5 juta.[9] Angka ini mencecah RM6.2 juta[10] selepas empat hari, sekaligus menduduki tangga teratas dalam carta kutipan pawagam Malaysia pada hujung minggu pertamanya (9 hingga 15 Jun 2011), mengatasi filem-filem Barat seperti Super 8, X-Men: First Class dan Kung Fu Panda 2.[11]

Hanya selepas hujung minggu keduanya, dikhabarkan bahawa filem KL Gangster meraih sejumlah RM10.3 juta[4], sekaligus mengatasi rekod RM8.18 juta yang dipegang oleh Ngangkung terbitan Metrowealth Movies Production pada akhir tahun 2010.[12] Sepanjang tempoh tayangannya KL Gangster meraih sebanyak RM11.74 juta keseluruhan, mempertahankan gelarannya sebagai filem Malaysia dengan kutipan tertinggi selama dua tahun setengah, hingga ia diatasi oleh filem Malaysia berbahasa Cina, The Journey, pada Februari 2014.[13][14]

Ulasan kritikal

Portal hiburan gua.com.my menerbitkan ulasan yang memberi filem KL Gangster markah 4/5 bintang, dengan memujinya sebagai filem aksi yang "realistik".[15] Menurut penulis ulasan, Azwan Annuar, "Melatari sebuah filem aksi yang cukup dikoreograf, adalah sebuah jalan cerita yang mudah. Kisah pertelingkahan antara kumpulan-kumpulan kongsi gelap di sekitar Kuala Lumpur, yang merebut kawasan ‘jagaan’ mereka. Ianya boleh dikatakan satu konflik realiti yang wujud dalam golongan masyarakat kota di sini."[15]

Menurut portal tupai.com.my[16] yang menyiarkan ulasannya sebelum filem ditayangkan kepada umum, lakonan yang ditonjolkan oleh setiap pendokong watak dilihat menjadi. Menurut ulasan tersebut, "Keberkesanan watak yang ditonjolkan berjaya mengesankan penonton dan membuatkan cerita ini menarik untuk ditonton. Pujian harus diberi kepada setiap pelakon filem ini terutamanya Zizan Raja Lawak yang memberikan lakonan yang membuatkan penonton tidak kering gusi. Pujian harus diberikan kepada Syamsul Yusof yang berjaya menonjolkan sisi lakonan yang baik dan berjaya menjiwai watak."[16] Mohd Rasdan Ahmad dari Utusan Malaysia menyatakan KL Gangster memerlukan penerangan dengan lebih jelas jika diterbit sebuah lagi “episod awal” filem ini, iaitu kisah terdahulu yang tidak dipaparkan dalam filem ini.[17]

Kontroversi

Di sebalik sambutan hangat oleh para pengunjung pawagam dan pengulas filem, namun filem KL Gangster tidak terlepas daripada bantahan segelintir pihak, iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (PEKIDA), yang dilaporkan mahu menyaman pengarahnya, Syamsul Yusof, kerana watak-watak dalam filem ini menggunakan perkataan seperti "abang long" dan "ayahanda" yang dikatakan ada kena mengena dengan Pekida.[18] Turut terlibat dalam hal ini ialah filem arahan Farid Kamil, Kongsi, sebuah filem yang serupa temanya dengan KL Gangster dan ditayangkan sebulan sebelumnya, atas sebab-sebab yang seumpamanya. PEKIDA meluahkan rasa kecewa dengan Lembaga Penapisan Filem kerana meluluskan filem-filem terbabit, namun pihak LPF telah meminta maaf kepada PEKIDA dan menjemput wakil-wakil PEKIDA untuk menyertai panel lembaga tersebut.[19][20][21]

Rujukan

WikiPedia: KL_Gangster http://www.budiey.com/pekida-mahu-saman-farid-kami... http://www.budiey.com/trailer-sinopsis-filem-kl-ga... http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://www.imdb.com/title/tt2074387/ http://www.majalahniaga.com/kl-gangster-dan-rm11-j... http://www.malaysiandigest.com/entertainment/12808... http://ohartis.com/2011/06/pekida-bantah-filem-kon... http://www.ohbulan.com/filem-abang-long-fadil-mula... http://www.rotikaya.com/keputusan-penuh-pemenang-f...